OKTOBER 2021

Lebuh Raya Pan Borneo Jajaran Julau Bakal Dapat Sijil Siap Kerja, Akan Dibuka Tidak Lama Lagi


SIBU:  Kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Julau kini berada pada fasa terakhir untuk mendapatkan Sijil Siap Kerja.

Pengurus Projek Pakej Kontrak Kerja 07 (WPC07), Pejabat Zon Tengah, Unit Lebuh Raya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR), SyahruI Ismadi Ismail berkata, jajaran itu dijangka dibuka tidak lama lagi.

Katanya, jajaran Julau merupakan salah satu daripada tiga jajaran di bawah Pakej Kontrak Kerja 07 (yang meliputi kerja-kerja pembinaan dari persimpangan Bintangor ke persimpangan Julau dan lapangan terbang Sibu  ke Jambatan Sungai Kua termasuk Jambatan Batang Rajang).

“Dua lagi jajaran di bawah Pakej Kontrak Kerja 07 ialah jajaran Sibu (dari Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Kua) dan jajaran Batang Rajang (Jambatan Batang Rajang) yang dianugerah Sijil Siap Kerja Oktober 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian penjanaan sistem lampu isyarat persimpangan Julau oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin.

Untuk rekod, laluan empat lorong di jajaran Julau dibuka kepada umum pada 20 Oktober lalu dari simpang KJD ke persimpangan Julau.

Sumber dari : Jiwa Bakti